bismillahirrahmanirrahim :)

Mengiktiraf jahiliyyah
Apabila kita melihat bahawa jahiliyyah adalah biasa, satu norma masyarakat yang pada kita memang telah berakar umbi lantas kita tidak merasakannya ‘luar biasa’, maka hakikatnya hati kita telah mengiktiraf jahiliyyah yang wujud di sekeliling kita.
Biasa. Kita rasa itu biasa. Maka, ada masalahkah? Bukankah benda itu biasa sahaja?
Seperti kita lihat orang berjalan pakai kaki. Adakah kita akan menegurnya: “Eh, kenapa jalan pakai kaki?”
Pastinya tidak bukan? Kita tidak akan menegurnya. Bahkan, kita tidak akan tergerak pun, terlintas pun dalam hati kita untuk menegurnya. Kerana apa? Kerana itu adalah biasa. Lainlah kalau dia berjalan dengan tangan. Barulah kita akan risau dengannya, dan menegur: “Kenapa buat macam ini? Jalan pakai kakilah.”
Begitulah hakikatnya apabila kita melihat jahiliyyah satu perkara yang biasa.
Hati jadi mangli dengan jahiliyyah, lantas lembik terhadapnya, akhirnya membiarkannya sahaja bergerak bebas tanpa menghalangnya.
Jahiliyyah menyelimuti kita.
Tanpa sedar juga, kita secara tidak langsung redha dengan jahiliyyah. Kita mampu menerima jahiliyyah itu hidup beriringan dengan kita. Walaupun kita kelihatan masih berpegang pada jalan yang haq, namun keredhaan pada jahiliyyah telah wujud di dalam jiwa. Dua cinta yang tidak boleh bersatu dalam satu waktu adalah cinta kepada Allah, dan cinta kepada jahiliyyah. Sekiranya kita tidak memerangi jahiliyyah, maka jahiliyyah akan memerangi kita.
Lama kelamaan, jahiliyyah yang kita biarkan tadi, yang kita anggap biasa tadi, meluas dan merebak. Oleh kerana kita nampak jahiliyyah itu biasa, nanti kita akan ambil sedikit jahiliyyah masuk dalam diri kita. Jahiliyyah yang kita rasa ‘biasa’. Dan lama kelamaan, banyak lagi jahiliyyah lain pun kita pandang ‘biasa’. Dan akhir sekali, kita terserap ke dalamnya. Pada ketika itu, jadilah jahiliyyah itu biasa, dan kebaikan itu yang luar biasa.
Dan perkara ini, kita boleh lihat dalam kehidupan kita.
Ya. Siapakah yang dipandang luar biasa sekarang?
Kebaikan, atau Jahiliyyah?
-Hilal Asyraf
P/s :Perkataan 'biasa' kepada Jahiliyyah yang selalu dikeluarkan dari mulut kita sendiri tanpa sedar memberi ruang untuk ia masuk dalam hati kita kan ?
No comments:
Post a Comment